KRITIK PROF. NAQUIB AL-ATTAS TERHADAP KONSEP KEMAJUAN

KRITIK PROF. NAQUIB AL-ATTAS  TERHADAP KONSEP KEMAJUAN

Oleh: Dr. Adian Husaini (www.adianhusaini.id)

Dalam sebuah wawancara dengan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menguraikan makna “kemajuan” dan “pembangunan” di Barat. Berikut petikan uraiannya, dengan sedikit editing:

Faham  development mereka (Barat) itu cuma  change, change, change… Tidak ada matlamat (tujuan) akhir. Nak (mau) tuju ke mana? Fahaman sekular sekarang berkata, jangan tanya itu, kerana masa hadapan harus terbuka. Tidak ada masa hadapan yang tertutup. Maksudnya mesti dihapuskan semua pandangan alam (worldview) yang final.  Itu ertinya menentang agama. Tentu sahaja menentang Islam, sebab kita ada pandangan final. Kita mengatakan alam ini pun suatu hari nanti akan binasa. Bahawa tujuan akhir kita ada di tempat lain. Faham sekular menentang itu. Dia kata itu semua bohong. Yang ada hakikat inilah, bumi ini, kehidupan sehari-hari ini. Ini sahaja.

            Soal pembangunan (development) itu, orang-orang Barat sangat gemar  dengan cerita Sisyphus yang menolak (mendorong) batu. Dan orang kita pun terikut-ikut. Maknanya dia fikir perubahan itu sama seperti menolak batu ke atas bukit, sampai ke atas,  nanti batu itu menggelongsor balik ke bawah, lalu ditolak lagi ke atas dan terus begitu. Dia fikir itulah development. Padahal itu bukan development.  Development itu dari perkataan develop,  yang ertinya kita harus memperbaiki keadaan yang ada kepada keadaan yang lebih baik lagi. Begitu juga progress yang ertinya ada yang dituju.

Dalam Bahasa Melayu kita ada kata kemajuan. Mustahil ada kemajuan tetapi tidak ada tujuan. Katakanlah ini Johor Bahru. Kita belum pernah pergi ke sana, tetapi kita dengar adanya di sana, jadi kita hendak pergi ke sana. Kalau kita berjalan ke sana, itu dikatakan progress toward ke Johor Bahru. Tetapi kalau kita berjalan ke sini, itu bukan progress ke sana; kita tidak akan sampai ke Johor Bahru, kecuali kalau dibetulkan balik ke sana. Progress mesti ada yang dituju. Dan tujuan itu mesti sudah ada, sudah lengkap, sudah final, tidak berubah-ubah.

Kalau tujuannya berubah-ubah, sekejap ada sekejap hilang, sekejap di sini sekejap di sana, macam mana hendak dikatakan itu progress? Dan progress bukan dalam jangka masa lima tahun sekali, dan lima tahun lagi sekali, baru hendak dilihat. Itu macam orang yang buta, tidak tahu jalan. Dalam al-Quran surah al-Baqarah dimisalkan mereka itu seperti orang yang memasang api, kemudian Tuhan menghilangkan api itu dan meninggalkan mereka dalam kegelapan, dengan kilat dan petir. Mereka takut, lalu mereka tutup telinga mereka dengan jari, dan mereka tunggu kilat yang akan datang. Bila kita datang mereka pun berjalan lagi. Inilah yang disebut oleh mereka progress, civilization sekarang ini.

            Progress ertinya mesti ada jalan yang jelas, yang kita tujui. Development bukan sahaja mempunyai erti yang zahir atau yang jasmani. Manusia ini bukan jasmaniah sahaja. Dia juga satu intelek, satu spirit. Dia bukan hanya darah daging sahaja. Tetapi psikologi moden dan fahaman sekular Barat sudah menafikan itu semua. Mereka fikir manusia ini macam binatang sahaja; hanya binatang ini sudah lebih maju daripada binatang lain.

Tentu kita tidak setuju dengan fahaman itu. Itu yang dikatakan sekular – dikeluarkan unsur-unsur rohaniah daripada segala perkara, daripada hal hidup, hal insan dan daripada alam sekali pun.

Lanjut baca, 

http://member.adianhusaini.id/member/blog/detail/kritik-prof.-naquib-al-attas-terhadap-konsep-kemajuan

Dipost Oleh Super Administrator

Admin adianhusaini.id

Post Terkait

Tinggalkan Komentar